Assalammualaikum Dan Salam Sejahtera..
Alhamdulillah, hari ini dah sampai diari yang ke-100 aku menulis di dalam blog ini. 🙂 . Tidak terbilang akan kisahnya dan besar jumlahnya (mengenai kisah ataupun kejadian) yang telah mengajarkan aku akan erti pengalaman hidup (maksud yang terkandung di dalam sesuatu kisah).
Ia mengingatkan aku kembali akan kisah-kisah cerita hati yang pernah aku tempuhi 18 tahun yang lalu (ceritanya hampir sama), tetapi kali ini pengakhirannya telah merubah perasaan hati aku kepada sesuatu yang lain (bukan diri yang sebenar, sebagaimana yang aku kenali). Baiklah, sebelum aku ceritakan lebih jauh mengenainya (sebentar nanti). Aku nak ceritakan terlebih dahulu serba sedikit cerita yang berlaku pada hari ini.
Kemahuan Hati..
Malam ini, buat pertama kalinya (dalam usiaku), berbuka puasa bersama dengan teman-teman di tempat kerja. Sebelum ini, belum pernah lagi aku melakukannya (selalunya bersama dengan keluarga). Aku berbuka puasa dengan Abang Shokeri, Abang Asrin, Hanafi (Helmy ada kerja sedikit di dalam Plant). Aku rasa gembira sangat (tak taulah sebab apa). Mungkin sebab pertama kali agaknya..
Aku bekerja lebih masa (overtime) sehingga pukul 10 malam dan sampai di rumah sekitar jam 11:10 minit malam. Memandu pulang di dalam keadaan hawa (cuaca) yang hujan dan suhu yang dingin. Aku tak boleh nak gambarkan suasana perasaanku. Ditambah pula dengan halwa telingaku diketika itu mendengarkan akan lagu-lagu sentimental yang dikumandangkan di Radio Sinar.Fm (macam dalam filem pula rasanya).. Haha.. 🙂
Kemahuan hatiku akan terpaut dengan suasana-suasana yang seperti ini (cuaca hujan, dingin, dan malam yang kelam). Ia akan mengingatkan aku kembali akan kisah-kisah lama yang pernah aku lalui suatu ketika dahulu (waktu usia remaja).
Adakah diriku masih lagi terperangkap di dalam masa silamku ? Ya, memang aku tak boleh nafikan itu, sebab ia merupakan suatu keindahan hati yang pernah aku rasai, dan aku takkan pernah jemu merasainya. Disaat ini, aku masih lagi menceritakannya, meskipun jari-jari jemariku yang menaip kisah itu sudah pun nampak akan alur tuanya (kedutan)…
Bermula dan Berakhirnya Disini..
Baiklah, aku akan ceritakan kisah-kisah yang telah aku tempuhi semenjak dari hari pertama aku menulis diari di blog ini, dan sehinggalah ke malam ini. (dah pagi pun) 😉
Kepercayaan
Sebagaimana yang aku ceritakan di dalam diari-diari sebelum ini, kepercayaan merupakan teras (utama) yang aku pegang dalam hidupku. Mungkin juga aku terlalu naif (terlalu mudah) mempercayai seseorang itu, sehinggakan seseorang ataupun kelompok manusia boleh mengambil kesempatan keatas kebodohan diri aku sendiri..
Dan dari apa yang aku belajar di dalam beberapa ketika waktu ini (5-6 bulan kebelakangan ini), ternyata untuk ketemu seseorang yang boleh dipegang akan janjinya itu hampir dah tak wujud lagi. Ada, tapi sukar untuk di cari. Sifat kepercayaan itu dengan sendirinya akan terikat dengan sifat janji (akuan).
Sifat akuan (janji), tidak kiralah dalam soal bicara, rahsia, kerja, hubungan perkahwinan, ataupun apa sahaja perkara yang memiliki ikatan keakuan, jika dileraikan (terpisah salah satunya), maka akan hancurlah akan sifat kepercayaan itu. Maka telah hilanglah sifat kepercayaan itu dalam hatiku kini, dan pastinya ia tidak akan wujud lagi..
Kuasa & Harta
Bagaimana kuasa (kedudukan) dan harta (jaminan kewangan) itu mampu mengubah manusia. Pertama kali ku lihat semua itu, ku fikirkan apa yang diperlihatkan di dalam kaca wayang itu dusta belaka (Filem & Drama), tetapi realitinya benar dan telahpun terlihat oleh pancainderaku (mata).
Inilah dunia nyata (bukan khayalan). Maka, telah tertutuplah akan kedua mata dan telinganya akan keindahan kuasa dan harta. Merasa dirinya seperti duri yang tajam, yang mustahil untuk disentuh oleh sesuatu yang lembut, tapi cedera jasad dan hatinya pada akhirnya..
Mengapa sendirian ? Ditinggalkan keseorangan oleh pelengkap jiwanya dan tetangga sejawatnya. Itulah dunia wadun (kata yang lebih halus). Kira adanya daya dan keupayaan (kuasa), di situlah akan wujudnya lingkunganmu. Jika hilang, maka tak upayalah untuk dirimu berkata-kata..
Temulah kamu akan orang yang melahirkanmu, kerana dia mengerti siapa dirimu. Ada belas kasih yang suci untuk dirimu disitu..
Cinta
18 Tahun telah berlalu, dan belum pernah lagi ku bukakan hatiku untuk orang lain selain daripada dirimu. Pertama kali ku terlihat wajahnya (Aishah), ternyata dia miliki kuncinya. Hati hanya berharap, tak terluah oleh kata-kata, hanya teman dan sedarah merisik khabar. Tapi akhirnya kau bukanlah untukku (meskipun hati sentiasa berharap ia kan jadi nyata)..
Pipimu kemerah-merahan, sehinggakan sedarahku (adik-beradik perempuan) mengikuti penampilanmu. Ecah panggilan namamu, putihnya kulitmu membayangkan sesuatu dalam fikiranku 😉 .
Datangnya selepasmu, Wawa namanya. Kulihat ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik sinar matanya. Dibelakang tabir matanya, pastinya ada tersembunyi cerita sedih (mengenang peristiwa yang lalu). Ku cuba menerjuni perasaan hatinya, ternyata aku bukanlah orangnya..
Baru ku tahu, ku tak pandai bicara dan berkata-kata. Khayalan fikiranku melayang-layang di saat pagiku, tertanya-tanya apa yang harus ku tanya di saat malamku. Maka, telah habislah ilmu cintaku. Mungkin juga ku harus sendiri.. Sendiri berkata-kata dengan perasaan hatiku. Tanpa ada teman yang harus ku bicara, kerana ku khuatir kata-kataku itu akan melukakan hatinya..
Maafkan aku, kiranya ku tak pandai bicara untuk menemani perasaanmu di kala malam. Aku manusia yang mencari penghidupan di waktu kelam (malam). Ku ingin sediakan kehidupan yang sempurna untuk suri hidupku (isteri). Ku tak mahu kau mengeluh dengan segala kekurangan yang kau kan hadapi suatu ketika nanti, ku tak mahu kau sukar untuk memikirkan sesuatu, ku mahu menyediakan sesuatu yang sempurna untukmu..
Mimpi
Ada yang berkata, mimpi itu hanyalah mainan tidur. Maka tiadalah ilmuwan agama itu berangan-angan untuk memiliki ilmu itu (tafsir mimpi) dalam riwayat hidupnya. Sebagaimana kisahnya, Nabi Yusuf dan keahlian ilmunya mengenai mimpi yang dikisahkan di dalam sebuah kitab yang diikuti oleh manusia (Al-Quran). Maka, tertanya mimpi itu terikat dengan kehidupan seseorang..
Pernah suatu ketika dalam mimpiku berada di dalam sebuah perkampungan. Namanya sahaja perkampungan, tapi apa yang terlihat oleh mataku ternyata tiada satu zaman pun yang dapat menandingi apa yang ada di dalamnya.
Perkampungan kaum `Ad (yang ada kisahnya di dalam Al-Quran). Kediamannya diperbuat daripada batu permata Zamrud (berkilau-kilau dan kehijauan), Tiada satu zaman sekalipun, kekayaan seseorang itu mampu untuk membina rumah seindah itu.
“Cantiknya”, kataku. Maka, datang seorang lelaki berdiri disebelahku, “Mahu lihat yang lebih cantik daripada ini ?”. Aku hanya menganggukkan kepala. Dipimpinnya tanganku mengikutinya sehinggalah tiba di suatu anak tangga. Kulihat ke atas, ternyata tinggi benar anak tangga yang harus ku naiki bersamanya..
Dia memimpinku naik sehinggalah tiba di atas. Ku lihat ada satu pintu yang harus ku buka untuk memasukinya. Ku sentuh tanganku pada pemegang pintu itu, lalu ku bukanya. Ketika itu, satu cahaya putih (benar-benar putih) terbias ke mataku. Hanya satu kata sahaja yang terkeluar dari bibirku, “cantiknya”. Kecantikan yang wujud di dalam pintu itu tidak tertanggung oleh mata untuk melihatnya. (terlalu cantik)
Maka benarlah, sesungguhnya syurga itu kenikmatannya belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas dihati manusia. Kecantikan dunia apa sekalipun, tetap masih juga mampu dilihat oleh mata manusia, tetapi Syurga ?
Akhirnya
Telah sempurnalah kata-kataku di malam ini, meskipun ada yang bertaburan di malam yang sunyi ini. Tetap juga dengan izin Allah swt yang berkuasa mengatur apa sahaja yang ada di langit dan di bumi ini, dan DIA lah yang akan menentukan harinya (Diari seterusnya).
Khairul Azahar Sharriffuddin
15 May 2019 2:35 Minit Pagi
Kampung Sungai Buaya, Selangor