Diari Hidup Seorang Muslim

Aku Melihat, Mendengar, Dan Merasa..Lalu Ku Menulis

Diari 199 : Akan Jelas Di Akhirnya..

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..

Alhamdulillah, baru lepas sarapan pagi 🙂 . Hari ini aku bermula agak lewat sedikit disebabkan masalah kesihatan semalam. Actually, petang semalam aku sakit kepala (sangat-sangat). Dah lama aku tak sakit kepala sebenarnya, tapi petang semalam rasa nak pecah kepala aku nie.. Aishhh.. Mungkin juga disebabkan aku berbaring jer semalam ditambah pula dengan cuaca yang terlalu panas..

Bila aku berbuka puasa semalam, aku dah rasa tak tahan lagi, aku terus solat maghrib. Masa itu aku dah rasa nak pengsan, rasa nak jatuh. Lepas tue aku pesan kat adik yang aku nak tidur (dah tak tahan sangat), makanya terlepaslah solat isya` malam semalam. Jadinya pagi tadi, aku Qadha (ganti) semula solat yang tertinggal semalam.

Alhamdulillah, bila aku bangun pagi tadi, semua kesakitan itu dah hilang. Jadi ada sesuatu yang aku belajar malam tadi (pengajaran dari peristiwa itu). Tak kiralah berapa banyak amalan yang kita lakukan di dalam kehidupan ini tetapi bila sudah sampainya ujian Allah swt kepada hidup kita (tetapi kita tidak bersedia menghadapinya), maka tiadalah memberi makna lagi amalan-amalan yang kita kerjakan sebelum ini. Pendek kata, tak perlu lah nak berbangga dengan amalan diri sendiri (kita boleh lakukan semua itu disebabkan rahmat Allah swt sahaja), tapi bila sampai ujian Allah swt, kita tak mampu untuk menghadapinya.

Bukan sedikit yang begini, ramai. Ramai yang boleh melakukan kebaikan, seperti bersolat 5 waktu, berpuasa sunat, memberikan sedekah, dan berbuat kebaikan kepada orang tua, tetapi apabila telah sampai ujian (keimanan) kepada dirinya (wanita, harta, pangkat, kesihatan), dia tak mampu untuk menghadapinya. Itulah realitinya 🙂

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut Ayat 2-3)

Selagi mana keimanan seseorang itu tak teruji, tak perlulah nak berbangga-bangga dengan iman yang ada itu. Selagi seseorang itu tak mati lagi, takkan ada jaminan yang dia akan terlepas dari sebarang ujian, cuma waktunya sahaja belum tiba..

Journey To Ihsan 4 : Sekadar Waktu Pagi Dan Petang

Alhamdulillah, hdah masuk diari yang ke-empat bagi sub topic “Journey To Ihsan”. 🙂 . Hari ini aku nak kongsikan satu surah yang boleh dikatakan surah kegemaran aku. Surah An-Nazi`at. Surah nie ringkas sahaja (ada 46 ayat) tetapi lengkap mengambarkan tentang perjalanan hidup yang bakal manusia lalui. (realiti)..

Dimulakan dengan kematian, kehancuran alam (hari kiamat), lalu dibangkitkan semula pada hari kiamat. Pada ayat ke-8-9, Al-Quran mengambarkan bagaimana keadaan pada hari tersebut (dibangkitkan semula). “Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, pemandangannya tunduk gerun”. Sebagaimana kata Saidina Ali R.a Manusia tertidur, apabila mati maka baru terjaga. Bila disedarkan dari kematian, itulah realiti sebenarnya. Masa itu setiap makhluk yang bernyawa akan mendapatkan pengadilan di hadapan Allah swt. Dah tak boleh berpatah semula (kembali ke dunia)..

Di pertengahan surah ini mengkisahkan mengenai kesombongan (Firaun). Nie level mengaku tuhan terus. Walaupun dia tahu kebenaran yang di bawa oleh Nabi Musa a.s setelah ditunjukkan bukti dihadapan matanya (mu`jizat) . Tapi Firaun tetap menolak disebabkan sifat sombong. Jika difikirkan, Nabi Musa a.s tak minta harta ataupun kekuasaan yang ada pada Firaun pun.. Tapi tuelah bahayanya sifat sombong.. Sombong tetap sombong, tak kiralah mengaku tuhan atau tidak. Sombongnya orang berilmu kepada orang yang tidak berilmu (sama jer keadaannya), nak bukti ? Lihat kisah iblis dan Nabi Adam a.s, disebabkan sifat sombong, terusirlah Iblis daripada Syurga (nampak tak bahayanya sifat sombong)…

Kemudian di dalam surah tersebut bercerita, apabila telah sampai hari kiamat itu, manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya, ketika itu manusia dah nampak dengan jelas kesudahan masing-masing. Siapa yang mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka neraka jahimlah tempat kediamannya. Adapun orang yang hidup di dunia ini dan takut akan hari penghakiman tersebut (dan dia pula menahan hawa nafsunya), maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.

Ayat akhir surah ini yang paling aku suka sekali (sebab ia mengambarkan sangat tepat) seolah-olah checkmate kepada semua makhluk yang ada berkumpul pada hari kiamat itu. “sangatlah dasyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya, seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja”. (An-Nazi`at ayat 46). Nampak tak, bagaimana kehidupan ini, hanya sekadar satu petang atau paginya sahaja (singkat sangat).

Khairul Azahar Sharriffuddin
21 April 2020 12:25 Minit Tengah hari
Kampung Sungai Buaya, Selangor

Diari 198 : Hanya Kita Sendiri Akan Melayarinya Nanti..
Previous Post Diari 198 : Hanya Kita Sendiri Akan Melayarinya Nanti..
Diari 200 : Cahaya 1 Ramadhan
Next Post Diari 200 : Cahaya 1 Ramadhan