Assalamualaikum dan salam sejahtera…
Selamat bertemu lagi… hehe 😄
Baik, minggu lepas aku ada cerita pasal berat badan aku yang memang degil gila nak naik, maintain je 62kg walaupun dah macam-macam aku buat. Makan lebih? Check. Senaman? Semua dah check. Tapi tetap macam tu jugak.
Sampailah aku terfikir… “Weh, ni mesti kerja cacing kot.” 🤣. Last aku makan ubat cacing tahun lepas. Patutnya ambil setiap 6 bulan sekali, tapi ikut situasi aku… 3 bulan sekali pun patut dah. Sebab aku ni hari-hari uruskan kucing, sekarang ada dalam 22 ekor, kebanyakannya dalam sangkar.
Ada seekor nama dia Celup, si manja kucing siam ni tidur dengan aku tiap-tiap malam. Memang level anak sendiri dah dia nie. Tapi tu lah, najis kucing memang ada risiko cacing. Kalau kita tak cuci tangan betul-betul, lepas tu pergi makan, habislah cacing buat rumah kat dalam badan kita..
Jadi dua hari lepas aku ambil dos pertama ubat cacing. Dos kedua nanti dalam 14 hari lagi. Dan serius, aku rasa badan macam bersih . Haha. Rasa lebih segar, tak lemau, selera makan pun dah mula stabil. Dulu makan sekali sehari pun kadang skip. Sekarang ni, makan 3 kali sehari macam budak baru dapat duit belanja! haha.. 😂
🐱 Kucing, Shelter Impian
Aku bela kucing ni dari kecil. Banyak yang aku kutip tepi jalan, ada yang sakit datang rumah sendiri minta tolong, bila dah sihat, boleh pulak dia belasah geng kucing asal rumah ni yang ada IC lengkap. Haha, aku pun kurung terus, nak halau tak nak pergi.
Setiap hari aku bangun sekitar 4 pagi ,bukan nak trading crypto ya 😂..tapi nak bersihkan kandang, bagi makan, tengok keadaan mereka semua. Jujurnya, aku kesian tengok diorang terkurung. Tapi bila lepas… bergaduh. Kadang pergi rumah orang, belasah kucing jiran. Aduhai…
Tapi aku selalu doa… moga Allah murahkan rezeki aku, boleh beli tanah untuk buat shelter proper. Kurung ni memang nampak kejam, tapi aku dah tak ada pilihan. Minggu lepas, ada rezeki, ayah upah orang untuk simen kawasan belakang rumah. Alhamdulillah, dapat ruang lebih selesa sikit untuk kandang baru. Harap-harap boleh pasang bumbung, lepas tu lepas diorang main-main dalam kawasan berpagar. Doakan ya… 💖
🌙 Projek Baharu: Zikir.my
Hari ni aku nak umum satu lagi projek baru… Zikir.my
Platform ni aku bina dalam masa 3 hari, tapi ia melengkapkan usaha-usaha sebelum ni. Ia kumpulkan zikir dan doa harian daripada sumber yang sahih dan dipercayai. InsyaAllah, sesuai untuk rujukan harian kita, ringan, cepat, mudah.
Sekarang projek islamik dah ada:
- Mengaji.my – baca Al-Quran online
- Hadis.my – koleksi hadis
- Hadith.my – koleksi hadith di dalam bahasa english
- Mp3.my – audio bacaan quran & download dengan terjemahan bahasa melayu
- Dan sekarang: Zikir.my
Aku tahu usaha ni kecil je… aku takde harta banyak nak sumbang pada umat. Tapi aku harap platform nie, semoga boleh jadi satu bentuk dakwah digital yang boleh beri manfaat kepada semua umat islam walaupun sikit.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Surah Muhammad, ayat 7
“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al-Baqarah, ayat 261
Baik, itu je update aku untuk minggu ni. Hidup ni memang penuh liku, kadang berat badan pun jadi isu, dan terkadang kucing pun jadi drama harian. Tapi kalau setiap hari kita cuba jadi lebih baik, walau sikit sahaja progressnya… lama-lama jadi bukit jugak kan ?
Terima kasih sebab sudi baca sampai habis. Doakan aku terus kuat urus kucing, terus konsisten menulis, dan terus siapkan platform-platform baharu yang boleh memberikan manfaat kepada umat manusia, khususnya umat islam..
“Jangan tunggu sempurna baru nak mula. Kadang-kadang keberkatan datang dari usaha kecil yang kita buat dengan hati yang besar.”
Jumpa lagi dalam Diari seterusnya..insyaAllah. Kalau ada apa-apa idea, nak sokong projek dakwah digital ni, atau nak borak pasal kucing tengah malam, DM je, aku tak select… haha 😅
Khairul Azahar Sharriffuddin
Kampung Sungai Buaya, Rawang
28.05.2025 10:54 Minit Malam