Assalammualaikum dan salam sejahtera. 😊
Moga baik baik sahaja semuanya ya . Jumpa lagi di malam jumaat.. beberapa minggu juga gagal untuk menulis.. sebab penat sangat, tak sempat nak menulis pagi jumaat..Ada kesempatan malam nie, aku nak kongsi sedikit perjalanan minggu ini, santai-santai ya..
Minggu ini aku panggil orang untuk potong semua rumput di kawasan sebelah dan belakang rumah 🌿 Sebenarnya bukan rumput sangat pun, rumput biasa sebulan sekali aku potong. Yang ini lebih kepada belukar sebab dah naik pokok pokok kecil. Pakcik aku yang cadangkan upah orang untuk bersihkan sebab dah terlalu panjang dan satu lagi sebab yang agak seram, kawasan ini memang ada ular yang aktif.
Rupa rupanya banyak kucing kucing aku yang hilang bila keluar malam adalah disebabkan ular sawa 😢 Ular itu berjaya ditangkap di rumah jiran aku dan kucing dia pun habis kena makan. Patutlah aku hairan macam mana kucing keluar terus hilang jejak, memang tak masuk akal hilang macam itu je. Sedih sangat bila fikir macam itu pengakhiran kucing kucing aku 😔
Ada beberapa hari lepas, aku sempat cakap dalam hati, “celup kau tak rindu kat aku ke, lama tak tengok kau” .Nak tahu apa jadi? Esoknya dekat telefon muncul satu popup gambar dia. Aku pun kliklah, lepas itu keluar semua gambar dia yang pernah aku ambil. Aku rasa Google Photos sebab auto backup kan Terus aku save semua gambar itu dalam telefon..tengok-tengok balik kenangan aku dengan dia. Baiklah, aku tak nak cerita panjang pasal ini sebab terlalu banyak kenangan
Cerita Pasal Durian
Alhamdulillah, tahun ini akhirnya dapat rasa durian selepas beberapa tahun tak menjadi. Beberapa tahun lepas, lebih kurang empat tahun juga, seminggu sebelum durian nak gugur, jari aku hampir putus kena mercun . Memang monyet punya hal lah, seram betul kalau ingat balik kenangan itu. Aku cerita ringkas saja ya.
Masa itu monyet datang seawal pukul tujuh ke lapan pagi ke kebun belakang rumah yang ada pokok durian berbuah lebat. Ada dalam empat pokok besar. Bayangkan, buah durian dari bunga sampai gugur bukan ambil masa sebulan. Lebih kurang empat ke lima bulan. Selalunya bulan Februari cuaca panas, pokok mula keluar bunga, bulan enam buah akan gugur. Lepas itu berbunga lagi sekitar bulan lapan atau sembilan..
Dalam tempoh itu, kalau hari hari monyet kacau, sekejap saja habis pokok dikerjakan. Jadi aku memang bakar mercun. Dipendekkan cerita, pagi sekitar pukul 7:30 pagi, entah macam mana mercun itu meletup dekat tangan aku. Masa itu tangan dah kebas, aku rasa memang tangan dah takde… Tapi perlahan lahan toleh tengok tangan sendiri. Nak tahu apa aku cakap dalam hati masa itu? “Eh ada lagi lah” 😂
Bila tengok betul betul, hujung jari telunjuk aku dah hampir putus. Dipendekkan cerita lagi, dua orang doktor hospital buat operation masa itu. Memang terrer, diaorang berjaya sambung semula jari aku.. Alhamdulillah, selepas beberapa tahun, semuanya dah okay dan langsung tak nampak kesan sambungan.
Itu kali terakhir aku jaga pokok durian kat belakang rumah.. mak aku bising 😅 Dia cakap biarkan saja monyet itu, dia nak buat apa suka hati dia. Kalau ada rezeki adalah durian itu. Tahun ini Alhamdulillah dapat rasa. Sama sama rasalah. Monyet pun dapat makan, ahli keluarga kitaorang pun dapat makan..haha. Mungkin sebab tiap petang aku bagi monyet makan kot, sebab itu diaorang tinggalkan sikit 😂
Baiklah, masuk cerita projek pula. Untuk bulan ini, InsyaAllah aku sedang buat empat projek. Dua hampir siap dan aku tengah finalize beberapa perkara. Empat projek ini sangat penting untuk tahun 2026 sebab aku akan aktif gunakannya. Aku juga plan nak ambil TTT atau Train The Trainer awal tahun nanti, mungkin lepas raya. InsyaAllah..
Awal minggu ini juga, adik aku balik dan minta tolong buatkan sistem events untuk fakulti tempat dia mengajar. Alhamdulillah siap dalam satu malam saja, sampai pukul empat pagi aku buat. Tidur pun beberapa jam saja. Sebenarnya aku tak biasa tidur lewat. Paling lewat pun pukul 12-1 pagi macam itu je… Kalau sampai tiga atau empat pagi itu memang jarang sangat, kalau ikutkan untuk beberapa tahun nie mamang takde tidur lewat sampai macam itu 😴
Kalau zaman remaja dulu lain cerita, lepak sampai enam pagi pun boleh 😆 Sekarang umur macam ini kena cukup rehat. Dah tua …haha. Nak tahu tak, aku ada baca, bila umur dah masuk empat puluh tahun, kalau seseorang itu tak berubah, sampai bila bila pun dia takkan berubah. Bila baca benda itu, aku terus rasa takut Sebab aku sendiri masih struggle untuk berubah jadi lebih baik dalam usia macam ini. Takut, tapi aku cuba..
“Kadang hidup mengajar kita kehilangan dulu supaya kita lebih menghargai yang masih tinggal dan berani berubah walaupun perlahan“
LELAKIBERLARI
Khairul Azahar Sharriffuddin
18 December 2025 10:42 Minit Malam
Kampung Sungai Buaya, Rawang

