Diari Hidup Seorang Muslim

Aku Melihat, Mendengar, Dan Merasa..Lalu Ku Menulis

Diari 22 : Cerita Hati

Assalammualaikum Dan Salam Sejahtera..

Perasaan tak, aku tak pernah cerita pun pasal agama dalam diari-diari aku. Nak tau Sebab apa ? Sebab aku tak suka bercerita mengenai agama. Sesiapa yang rapat dengan aku, akan faham perkara ini..

Aku pernah tanya kawan-kawan, (dan selalu juga aku tanya), siapa-siapa yang pernah “terkena” soalan aku nie, aku ucap terima kasih dengan jawapan kamu. Selalunya aku akan bertanya “apa erti hidup bagi kau, apa pandangan kau tentang kehidupan, dan apa yang kau cari dalam hidup ? dan saya taknak jawapan itu ada kena mengena dengan agama, sebab nanti kau takkan berlaku jujur dengan jawapan itu?”

Jawapan yang selalu aku terima melalui pertanyaan itu, hampir seratus peratus adalah, “aku nak bahagia”. Okay, dengan jawapan itu, boleh tak sesiapa buat satu konklusi, “bagaimana nak ukur tahap kebahagian seseorang ? apa dia punya benchmark ?”. Jadi setiap orang ada faktor untuk menentukan kebahagian diri sendiri, betul tak ?

Jadi sesiapapun tak boleh mengatakan seseorang itu (selain daripada dirinya) bahagia ataupun tidak mengikut indicator yang telah di tetapkan oleh dirinya sendiri (ini semua rahsia dalam hati), tiada sesiapapun (orang) yang mengetahui perkara yang ghaib seperti ini.

Ilmu Hati

Bulan lepas, aku pernah berbual dengan Rao, waktu overtime. Aku saje jer bukak cerita “Abang nak tahu tak, agama islam nie terbahagi kepada 3 bahagian. Bahagian pertama adalah ilmu yang paling tinggi iaitu ilmu Tauhid. Ilmu tauhid ini adalah ilmu Mengenal TUHAN. Ini perkara yang pertama perlu dipelajari oleh orang Islam.. Tuhan itu bagaimana ? Apa sifat Dia ? Dia ada mata ke, telinga ke ? Kita tak boleh kata Tuhan ada telinga atau mata sebab itu sifat kepada makhluk, tak layak bagi Tuhan. Kalau dekat sini (Ilmu tauhid) pun dah silap, semua amalan adalah terbatal dan tidak diterima .Paling asas sekali dalam ilmu tauhid adalah ini “Allah wujud tidak bertempat”

Aku tengok Rao khusyuk jer dengar masa itu 🙂 Selalunya bila aku cakap kat dia, “bang, saya ada perkara nak cerita”. Dia akan terus letakkan phone dia kat atas meja, pandang kat muka aku, dan cakap, “Haa.Apa dia ?”.. Haha.. Ini style Rao yang aku kenal. 🙂

Okay aku sambung lagi cerita tadi ye, Lepas itu aku cakap, “Bahagian kedua adalah syariah. Sebagai contoh abang tengok orang islam solat & puasa. Itu terletak dalam ketegori ini. Banyak orang yang sampai tahap dan level ini. Tahu mengenai hukum-hakam, Tau yang mana boleh dan tak boleh. Selalu puasa, selalu sembahyang, selalu buat kebaikan, Selalu sedekah sana-sini, nampak baik, sebab ini adalah praktikal untuk orang islam, Tapi nak tau tak ?”

“banyak orang yang tersangkut kat bahagian yang ketiga ini termasuklah ulama, iaitu ilmu Ihsan (Akhlak/Tasawwuf). Ilmu inilah yang melengkapkan semua ini. Ilmu yang paling susah. Ini adalah ilmu hati. Kalau tak sampai ilmu ini, tidak akan masuk ke dalam syurga seseorang itu. Ilmu ini paling sukar. Ada macam-macam jenis-jenis penyakit hati, nak tau tak ?”

“Abang tahu apa itu hasad ? Rao bertanya kepadaku kembali, “hasad dengki ?”. Aku menjawab, “Ya, hasad dengki. Hasad adalah penyakit hati yang tersimpan dalam hati, bila kita melihat seseorang mendapat nikmat, kita nak nikmat itu hilang daripada dia, ia akan ada dalam hati semua orang,termasuklah saya dan abang”.

“Tahu tak apa itu Riak ?, Riak ini maksudnya suka memperlihatkan. Memperlihatkan perbuatan-perbuatan yang baik dilakukan bertujuan untuk mendapatkan pujian manusia. dan tahu tak apa itu Ujub ?. Ujub ini adalah merasa bangga dengan diri sendiri, rasa diri hebat,(takjub dengan diri sendiri). Ini adalah antara jenis-jenis penyakit hati yang perlu dikeluarkan daripada dalam hati dan tak boleh disimpan di dalam hati”

Aku tengok Rao dah makin teruja (nampak terujanya)..haha.. 🙂 “Betul lah..Aku pun ada rasa bangga masa aku buat satu perkara itu, macam mana nak buang khai ?, susah tue, agama aku pun tak ajar sampai tahap macam itu”.

Aku jawab, “kena belajarlah, itu pasal lah ada ilmu ini (tasawwuf),kita belajar cara macam mana nak keluarkan penyakit-penyakit ini, okay contoh, kita nampak orang dapat something, kat situ kita dah tau, penyakit itu (hasad) akan datang, cepat-cepat kita keluarkan, jangan bagi bersarang dalam hati. Nanti saya kasi satu buku dekat abang, kat situ ada cerita tentang jenis-jenis penyakit hati”.

Berkatanya Guru Kami

Sebagaimana kata-kata guru kami, Syeikh Ahmad Fahmi Zam-Zam Al Banjari An Nadwi Al-Maliki, penyakit terakhir yang akan terkeluar daripada hati seorang ulama, adalah penyakit “hasad”. Apabila dia melihat ulama lain ramai pengikutnya, dia akan merasa hasad dalam hatinya. (meskipun zahirnya sangat alim)

Dan katanya lagi, ramai yang telah sampai ke tahap wali dengan hanya mempelajari ilmu yang di ambil dari kitab, “hidayatus salikin” (Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani). Kitab ini menghimpunkan ilmu yang bersepadu yang telah disusun dari kitab asalnya iaitu, bidayatul hidayah (permulaan jalan hidayah) hasil karangan Imam Al-Ghazali.

Tahu tak betapa pentingnya ilmu tasawwuf ini dalam hidup kita.Ada sesetengah orang menyertai kumpulan tarikat untuk mendapatkan pengalaman rohani. Kalau tak suka, boleh jer pilih jalan lain selain daripada itu, selagi mana kau rasa boleh sampai ke “maksud” yang di inginkan, itu dah cukup. Tapi jalan tarikat adalah jalan yang telah “tercuba” (mujarab) dari generasi ke generasi kerana seseorang itu memerlukan guru yang mursyid untuk memimpinnya..

Pernah tak kau dengar orang cakap, “sembahyang jer..tapi perangai macam…mulut macam..” . sebab Apa nak tau ?. Sebab ilmu dia belum masuk ke bahagian yang ketiga lagi (tasawwuf/ihsan/akhlak). Dalam hati dia ada macam-macam penyakit, selagi di tak belajar, selagi itulah dia takkan boleh bawa keluar “penyakit” itu dalam hati dan dia akan mati bersama-sama dengan penyakit itu (tidak terkecuali ulama).

Monitor Orang Lain

Aku sebenarnya jadi admire dengan orang-orang yang sampai ke tahap macam ini (sebagaimana diari sebelum ini. Aku suka “mengikat” orang-orang yang aku percaya antaranya orang yang ada-ada sifat macam ini).. Aku pernah ada seorang sahabat, namanya Miqdad (memang baik).. Panjang nak cerita pula…InsyaAllah nanti aku cerita.. 🙂

Aku ada satu lagi penyakit.. Suka Monitor orang..Haha… 🙂 . Contoh, “Owh..orang nie suka jaga solat dia (aku selalu perhatikan orang-orang yang lalu kat sebelah lab pergi ke surau untuk solat,).. keesokkannya, aku tengok lagi, orang ini ada pergi lagi ke tak..(aku akan tertanya kat diri, macam mana dia boleh jaga solat macam itu, time fix pula tue)..

Owh,orang ini tutur katanya lembut (macam mana dia boleh cakap lembut macam tue ye,takkan dia tak marah langsung)..Owh, orang ini pakaiannya sopan (pandai dia jaga diri)..owh, orang ini kalau cakap mesti pandang muka, (mesti jenis beri tumpuan nie).. Tak tahulah, aku rasa semua orang pun macam tue kan.. Suka monitor orang lain? ..:-) . Tapi aku rasa lah kan, selagi mana pemerhatian seseorang itu tidak “mengundang” penyakit-penyakit ke dalam hatinya.. InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja.. 😉

Khairul Azahar Sharriffuddin
21 January 2019 2:21 Minit Petang
Kampung Sungai Buaya, Selangor
Previous Post Diari 21 : Seperti Ayah
Next Post Diari 24 : Untuk Dia